Hazrat Abu Hurairah r.a berkata, "Sekiranya kamu melihat keadaan kami
dahulu, sebahagian daripada kami tidak mempunyai makanan buat beberapa waktu
walaupun hanya untuk menegakkan tulang belakang. Disebabkan kelaparan,
kadang-kadang saya menekan dada ke bumi dan kadang-kadang saya meniarap dengan
meletakkan segala kekuatan ke perut dan kadang-kadang saya mengikat batu pada
perut."
Pada suatu hari saya duduk di jalan
yang biasa dilalui oleh para sahabat yang besar. Hazrat Abu Bakar r.a telah
lalu. saya mula bertanya sesuatu kepada beliau dengan harapan beliau akan terus
melayan percakapan saya dan terus membawa saya ke rumah. Kemudian
seperti biasa beliau akan melayan saya dengan menghidangkan apa-apa makanan yang ada di dalam rumah. Namun demikian, beliau tidak melakukan seperti itu (mungkin kerana tidak terlintas di hati beliau atau kerana telah diketahui keadaan di rumahnya juga yang tidak mempunyai apa-apa).
seperti biasa beliau akan melayan saya dengan menghidangkan apa-apa makanan yang ada di dalam rumah. Namun demikian, beliau tidak melakukan seperti itu (mungkin kerana tidak terlintas di hati beliau atau kerana telah diketahui keadaan di rumahnya juga yang tidak mempunyai apa-apa).
Selepas itu Hazrat 'Umar r.a pula
yang lalu. Bersama beliau pun keadaan yang sama telah berlaku. Kemudian
Rasulullah s.a.w yang lalu. Melihatkan saya, Baginda s.a.w pun tersenyum.
Baginda s.a.w telah memahami keadaan dan tujuan saya. Baginda s.a.w berkata,
"Abu Hurairah, ikutlah bersama saya."
Lalu saya pun terus bersama Baginda
s.a.w. Baginda telah pulang ke rumah. Di dalam rumah terdapat satu mangkuk susu
yang telah dihantarkan kepada Baginda s.a.w. Baginda bertanya. "Dari
manakah susu ini?"
Telah dijawab, "Dari tempat
sekian untuk Rasulullah sebagai hadiah."
Kemudian Baginda s.a.w bersabda,
"Abu Hurairah, pergilah panggil ahlussuffah dan bawa mereka ke mari."
Ahlussuffah dikira sebagai tetamu Islam. Mereka ialah orang-orang yang
tidak mempunyai rumah dan tidak mempunyai tempat tinggal dan tidak ada
pengurusan makanan yang tetap untuk mereka. Bilangan mereka tidak menentu
mengikut masa. Namun, pada masa kisah ini berlaku jumlah mereka ialah tujuh
puluh orang. Menjadi kebiasaaan Rasulullah s.a.w juga bahawa mereka
dipasangkan berdua-dua atau berempat-empat dan dijadikan tetamu kepada para
sahabat yang agak kaya. Sekiranya terdapat pemberian sedekah dari mana-mana
maka akan dihantar kepada mereka tetapi Baginda s.a.w sendiri tidak akan
menyertai mereka. Sekiranya terdapat pemberian hadiah dari mana-mana maka
Rasulullah sendiri akan bersama mereka.
Rasulullah s.a.w telah memerintah
agar memanggil mereka. Hati saya terasa berat memikirkan jumlah susu itu.
Banyak mana sangat untuk membolehkan saya menjemput mereka semua. Bagaimana
mungkin untuk setiap orang? Sedangkan susu itu tidak mencukupi untuk satu
orang pun. Selepas mereka dijemput, sayalah yang akan diperintahkan untuk
memberi mereka minum. Oleh kerana itu, saya akan menjadi orang terakhir minum
dan sudah tentu susu itu tidak akan tinggal sedikit pun. Namun demikian,
apakah ada jalan lain selain mentaati Nabi s.a.w?
Saya telah pergi dan menjemput
kesemua mereka. Rasulullah s.a.w bersabda, "Nah ambil, berilah mereka
minum."
Saya mengambil mangkuk itu dan
menyerahkan kepada seorang demi seorang daripada mereka dan setiap orang akan
minum sepuas-puasnya kemudian barulah dikembalikan mangkuk itu kepada saya.
Demikianlah saya telah memberi minum kepada mereka semua dan kesemua mereka
telah minum dengan puas.
Kemudian Rasulullah mengambil
mangkuk tadi lalu memegang mangkuk itu dengan tangan Baginda sambil memandang
kepada saya dengan tersenyum. Baginda s.a.w berkata, "Sekarang hanya
tinggal kamu dan saya sahaja."
Saya menjawab,
"Begitulah."
Baginda mengarahkan, "Ambil dan
minumlah." Saya pun mula minum. Baginda s.a.w mengarah lagi,
"Minumlah lagi." Saya pun minum lagi. Akhirnya saya berkata kepada
Baginda "Sekarang saya tidak boleh minum lagi." Selepas itu
Rasulullah menghabiskan susu yang masih tinggal
itu.
itu.
Petikan: Kitab Fadhilat Amal (Kisah Para Sahabat)